Malang sememangnya tidak berbau. Anak kecil anda sentiasa terdedah kepada sebarang kemalangan yang tidak diduga pada bila-bila masa. Oleh itu sebagai ibu bapa, anda perlu sentiasa bersedia dengan ilmu dan pengetahuan untuk sebarang rawatan kecemasan bagi meredakan kesakitan yang dialami dengan segera.
Masalah lebam dan bengkak boleh terjadi kepada kanak-kanak kecil semasa mereka bermain. Lebam timbul apabila suatu pukulan atau jatuhan menyebabkan pendarahan dalam tisu di bawah kulit yang menghasilkan bengkakan dan perubahan warna. Lebam biasanya pudar secara beransur-ansur dan hilang selepas tempoh seminggu.

Masalah lebam dan bengkak boleh berlaku sekiranya jari anak anda tersepit pada pintu atau tingkap atau sesuatu yang berat jatuh ke atas kaki atau tangannya. Anda hendaklah memegang bahagian yang tercedera di bawah air sejuk yang mengalir selama beberapa minit.
Jika bahagian yang tersepit menjadi sangat bengkak atau masih berasa sangat sakit selepas kira-kira setengah jam, bawa anak anda ke hospital.
Bagi masalah bengkak atau lebam yang dialami di bahagian kaki akibat jatuh atau terhempap sesuatu objek, pegang sekeping pad yang diperah di dalam air yang sangat sejuk atau ketulan ais yang dibalut dengan sehelai kain lembap, pada lebam tersebut selama kira-kira setengah jam. Ia sepatutnya membantu mengurangkan kesakitan dan bengkak.

Tetapi sekiranya anak anda masih lagi berasa kesakitan atau jika anggota yang lebam itu berasa sakit apabila digunakan, terutamanya jika bengkaknya serius, periksa sebarang tanda sama ada sendi itu tergeliat atau tulang mengalami masalah patah. Segera bawa berjumpa doktor untuk rawatan selanjutnya.